Thursday, February 28, 2008

Pesta pilihan raya
Oleh Hafizah Iszahanid, Mohd Azis Ngah dan Suhana Roslan-BH online (28/02/08)
SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 Februari lalu, kemeriahan pilihan raya pun bermula. Walaupun kempen rasmi hanya sepatutnya bermula hari ini sebaik penamaan calon selesai namun semua parti sudah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing berbulan-bulan sebelum itu. Bagi petugas, pilihan raya umum adalah waktu yang dinanti-nanti untuk menunjukkan sokongan terhadap parti. Justeru, mereka inilah yang menjadi tulang belakang parti yang membantu memeriahkan kempen pilihan raya. Daripada remaja di bandar hinggalah pakcik tua di kampung, mereka tidak kisah menyumbang kudrat dan keringat tanpa mengira siang atau malam untuk memeriahkan kempen dengan memasang poster dan bendera di segenap ruang yang ada untuk menarik perhatian pemilih.
Malah, ada yang sanggup `berkampung' dan tidur di markas yang dibina di tepi jambatan, demi memastikan bendera parti mereka tidak diusik pihak lawan. Wanita pula tidak mahu ketinggalan sibuk bergotong royong menyiapkan hidangan petugas sebagai sokongan dan meringankan penat lelah mereka selepas bekerja keras memastikan kemenangan parti. Selepas ini kita akan melihat "perang poster" calon yang bertanding untuk rakyat memilih parti dan pemimpin mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pada 8 Mac akan datang.



KOMEN

Demam pilihanraya kian terasa bahangnya. Semakin hari, para calon pilihanraya semakin sibuk berkempen meraih undi. Golongan lelaki sibuk dengan kerja luarnya manakala golongan perempuan pula sibuk membantu suami walaupun sekadar di rumah. Begitu sekali hebatnya bahang yang di rasakan bersempena dengan pilihanraya kali ini. Amat menyeronokkan, kanak-kanak pun sibuk membantu ibu bapa mereka dengan menggantung poster. Tarikh 8 Mac adalah tarikh amat di nantikan oleh para calon pilihanraya.
Mara hantar lebih ramai pelajar ke luar negara
Oleh Rosniza Mohd Taha dan Mohd Amin Jalil-Berita Harian online(28/2/08)
Tawaran terbuka kepada lulusan cemerlang SPM ikuti bidang kritikal JUMLAH pelajar Bumiputera yang akan dihantar mengikuti pengajian dalam bidang kritikal di luar negara menerusi program Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Mara ditingkatkan kepada 1,200 tahun ini berbanding 1,000 orang sebelum ini. Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin, berkata setakat ini 369 pelajar sudah dikenal pasti layak mengikuti skim berkenaan untuk mengikuti jurusan perubatan, bioteknologi, kejuruteraan, teknologi maklumat, sains aktural dan farmasi.
Katanya, pelajar yang berjaya dalam permohonan mereka akan dihantar ke universiti terkemuka luar negara termasuk di Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, India, Jerman dan New Zealand. “Kuota tahun ini meningkat bertepatan usaha Mara bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membantu kerajaan menyediakan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi pada masa depan. “Skim ditawarkan dengan kerjasama JPA ini tidak terhad kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara saja, malah terbuka kepada semua lulusan Sijil Pelajaran Malaysia termasuk dari sekolah berasrama penuh,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Mara Peringkat Zon Selatan di kompleks beli-belah Terminal One, Seremban, baru-baru ini.
Nam berkata, pelajar yang dihantar ke luar negara akan mengikuti program persediaan International Baccalaureate (IB) serta A Level dan mereka mesti mencapai tahap kecemerlangan ditetapkan. “Sepanjang menjalani program ini, prestasi mereka dipantau secara berterusan. Penilaian ini dilaksanakan secara menyeluruh terutama dari segi kecemerlangan akademik, ketrampilan, kesungguhan serta mempunyai disiplin tinggi. “Ia bagi memastikan pelajar terbabit benar-benar layak dan mampu bersaing dengan pelajar antarabangsa kerana sesetengah universiti luar negara turut mengenakan syarat ketat, termasuk melalui proses temu duga,” katanya. Menerusi SPC juga, katanya, Mara akan menghantar 30 pelajar cemerlang mengikuti program ijazah kejuruteraan selama empat tahun di Sepanyol mulai September 2010.
Beliau menjelaskan borang untuk mengikuti program itu sudah diiklankan di akhbar bagi membolehkan pelajar membuat permohonan. Katanya, pelajar terpilih akan ditempatkan di Universiti Politeknik Madrid dan Universiti Politeknik Catalunia, Barcelona. Bagaimanapun, katanya, pelajar terbabit perlu mengikuti program A Level selama dua tahun dalam negara sebelum dihantar ke Sepanyol yang tersenarai sebagai antara negara maju dalam bidang kejuruteraan. “Sebelum ini pelajar tajaan Mara yang melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan dihantar ke Jerman, New Zealand, United Kingdom dan Perancis. “Sepanyol menjadi destinasi pengajian terbaru kerana ia terkenal dengan pembangunan kejuruteraan terkini termasuk aeroangkasa, mekanikal, automotif, elektrik dan elektronik,” katanya. Sementara itu, ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Mara Peringkat Zon Selatan di kompleks beli-belah Terminal One, Seremban, baru-baru ini, Nam berkata, langkah meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang kemahiran teknikal bertujuan melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera. "Ini kerana kemahiran, kepakaran dan pengetahuan menentukan orang Melayu dan Bumiputera mampu terus berdaya saing," katanya. “Mara akan terus berusaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat mengenai pentingnya ilmu dan kemahiran. Karnival ini adalah sebahagian platform kepada mereka, terutama generasi muda meneroka peluang pendidikan, sekali gus membina kerjaya cemerlang pada masa depan,” katanya.
KOMEN
Perancangan yang baik daripada pihak MARA kerana mengambil inisiatif yang terbaik dalam menangani masalah kekurangan pelajar Malaysia di luar negara. Hal ini kerana, apabila perancangan ini terlaksana maka akan lahirlah generasi masa hadsapan yang lebih dinamik selaras dengan kehendak kerajaan dalam melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Walaubagaimanapun, langkah yang strategik amat perlu kerana ini membabitkan kos yang tinggi. Tujuan penghantaran pelajar-pelajar Malaysia ke luar negara adalah untuk membantu Malaysia membangunkan negara kita sendiri iaitu Malaysia.