Wednesday, April 2, 2008

Kupejamkan mataku
Kurasakan jiwaku melayang meninggalkan ragaku
Aku melihat awan putih, langit biru
Kuhempaskan jiwaku ke salah satu awan
Kicauan burung-burung terdengar riang dari bawah sana
Damai, tenteram
Semua masalahku terserap kedamaian
Kurasa aku siap membuka mataku kembali
Namun, apa yang terjadi?
Ketika kubuka mataku,
Yang ada hanyalah keputus asaan

Sunday, March 9, 2008

Ranjau Semalam


RANJAU SEMALAM

Gemersik angin lalu
Membuka tirai memori
Melangkahnya aku ke sini
Yang ku kenali S.M.K Kota

Seingatku dulu
Langkahku longlai
Wajahku menunduk ke bumi
Dan jalanan hidupku
Dihiasi dedaun berselerakan

Seingatku dulu
Kususuri ranjau ini
Persis pengemis jalanan
Menagih setitis ilmu
Tanpa peduli ilmu sekeliling

Mujurlah
Dalam aku kelemasan
Ada tangan yang menghulur
Menyelamatkan aku
Dari tenggelam
Dalam arus kehidupan
Dan kini…
Aku pasrah
Dengan satu keyakinan
Berlandaskan satu azam
Ingin menggenggam
Sebuah kejayaan
Dan…
Terima kasih atas keprihatinanmu
Tunjuk ajarmu
Membuka balutan mataku
Untuk menilai
Harga sebuah kejayaan

Kini…
Aku bergelar mahasiswa
Di bumi UPM
Terima kasih atas segalanya.

6 Atas Azam




MASA TAKKAN KEMBALI LAGI

Dalam keasyikkan
Mengisi pemergian usia
Masih ada rindu menyapa
Menyingkap wajah-wajah
Teman yang kutinggalkan
Terdengar hilai tawa
Dalam suram warna hidup
Kita pernah mengarang pertemuan
Kini terpisah
Tatkala terputusnya temali itu
Lalu kian menjauh dari persimpangan ini
Kesuraman wajah sahabatku
Kian mengaburi mataku
Kehadiran waktu yang aku lewati
Menjadikan aku semakin sepi
Sesepi lautan di keheningan malam
Tiada lagi bicara ceriamu sahabatku
Yang menjenguk waktuku
Tiada lagi usikan gurauanmu
Yang pernah mencubit hatiku
Dan hari ini…
Aku masih mengusung musim-musim lalu
Yang menjadi milik kita
Menyingkap tabir kehidupan
Dalam rimba yang kelam
Kita memburu cita-cita
Dalam megahnya impian
Kita menjulang kejayaan
Dan kini…
Kita kian terasing
Dalam menyalakan api perjuangan
Kita kian terpisah
Dalam senyum dan tangis semalam
Masa kita
Takkan kembali lagi.

Thursday, March 6, 2008


CANTIK SEORANG WANITA ITU


Cantik seorang wanita itu sebagai gadis
Bukan kerana kilau lipstick,
Pada bibir memekar senyum kosmetik.
Cantik wanita itu sebagai remaja
Tidak pada kulit mulus menggebu terdedah.
Cantik seorang wanita itu sebagai hawa
Tidak kerana meruntuh iman kaum adam.
Cantik seorang wanita itu sebagai anak
Tidak menjerat diri pada kederhakaan.
Cantik seorang wanita itu sebagai intelektualis
Menyala obor menyeri setinggi profesionalis.
Cantik seorang wanita itu sebagai akidah solehah
Mengandam rindu kekasih pasrah diatas sejadah.

SAHABAT




SAHABAT UNTUK SELAMANYA


SAHABAT…


Bukan satu
tapi beribu,
bukan sementara
tapi untuk selamanya,
bukan untuk dimusuhi
tapi untuk disayangi,
bukan untuk dilupai
tapi untuk diingati,
bukan hanya disini
tapi dimana-mana,
bukan setakat ini,
tapi hingga hujung nyawa.

NENEK

NENEK
(khas buat nenek tersayang)

Nenek
Ku membesar dalam pelukanmu
Ku menjadi dewasa hasil dari kasih sayangmu
Sesungguhnya segala pengorbananmu
tidak mampu kubalas

Nenek
Kasih sayangmu umpama lautan tak bertepi
Pengorbananmu umpama lilin membakar diri
Pelukanmu umpama selimut di kala ku kesejukan

Nenek
Segala yang kau curahkan
tetap aku hargai
Keranamu
Aku menjadi dewasa
Keranamu
Aku menjadi manusia sejati
Keranamu
Aku berjaya bergelar mahasiswa

Nenek
Sesungguhnya
Tak mungkin aku beroleh penggantimu
Kau amat sempurna di mataku
Akanku sematkan
segala kasih sayangmu
dalam hatiku
menjadi penawar
di waktu ku derita

Nenek
Sesungguhnya
Aku amat berterima kasih kepadamu
Atas segala kasih sayang
dan pengorbananmu selama ini

Terima kasih atas segalanya
Aku menyayangimu sepenuh hatiku

Sunday, March 2, 2008

AHAD, 2 MAC 2008

Kemunculan puisi moden atau sajak secara umumnya dapat dikatakan beriringan dengan kemunculan sikap dan fikiran baru dalam masyarakat kita. Perubahan berlaku agak perlahan dan tidak drastik. Puisi moden yang pertama dihasilkan oleh Omar Mustaffa dalam tahun 1913. Karyanya berjudul Angan-Angan dengan Gurindam tersiar dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Usaha Omar Mustaffa tidak segera diikiuti oleh penulis-penulis lain. Hanya setelah dua dekad kemudian – dalam tahun 1933 – barulah muncul sajak-sajak yang lebih dikenali sajak-sajak awal Tanah Melayu.
Semenjak tarikh tersebut, muncul lagi sajak-sajak yang lebih moden. Sajak-sajak yang tercipta jelas membawa kemajuan dari segi tema dan gaya. Penyair yang mencipta sajak-sajak tersebut rata-ratanya bergerak dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).
Tema puisi Melayu memang jelas memperlihatkan kemajuan. Tema puisi dikatakan maju kerana ada usaha penyajak membawa aliran baru, pemikiran baru, dan gaya baru dalam karya mereka.Tema turut berubah mengikut peredaran zaman,Dalam dekad 30-an dan 40-an misalannya, kebanyakan penyair menulis puisi mereka dalam suasana romantik dan melankolik. Mereka dikongkong oleh teknik dan gaya puisi klasik. Bahasa mereka lembut dan nada mereka mendayu-dayu. Ini sesuai dengan lenggang kehidupan mereka pada dekad itu.
Dekad 40-an, khususnya dalam zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-45), terhasillah sajak-sajak yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Persoalannya diuliti dengan dasar dan cita-cita pemerintah Jepun yang dilaungkan melalui slogan 'Asia Timur Raya Makmur Di Bawah Pimpinan Dai Nippon'. Sekitar tahun-tahun tersebut, Jepun menggunakan akhbar dan majalah sebagai media untuk meniupkan propaganda mereka melalui slogan 'Asia untuk Asia'. Suara penyair dalam dekad 40-an ternyata lebih optimis dan patriotik nadanya jika dibandingkan dengan suara penyair sebelum Perang Dunia Kedua.
Penerokaan daerah tema yang lebih meluas mulai jelas dan ketara dalam tahun-tahun 60-an. Dalam tahun-tahun 70-an dan 80-an, tema puisi Melayu semakin rencam dan beragam sifatnya dengan teknik yang menarik dan lebih kukuh Beberapa orang penyair yang mula menulis dalam tahun 60-an dan masih menulis hingga sekarang telah memperlihatkan graf kemajuan yang menggalakkan.
Demikianlah secara ringkas pekembangan puisi Melayu moden semenjak awal pertumbuhannya. Pendidikan, pengalaman, dan pengaruh yang diterima oleh para penyair turut membantu mereka menghasilkan sajak-sajak yang bermutu, dan menjadi aset yang berharga bagi khazanah kesusasteraan Melayu.

RUMAH ANAK YATIM SABAK BERNAM




23 Februari 2008...



4 kumpulan BBM 3410 bertolak ke Sabak Bernam untuk menjalankan satu aktiviti bersama-sama anak yatim. Aktiviti ini adalah tugasan bagi pelajar BBM 3410. Pelbagai pengalaman dapat dicari. Antaranya ialah dapat menyelami hati luhur seorang anak yatim yang punyai pelbagai pengalaman pahit dalam mengharungi ranjau kehidupan sebagai anak yatim. Berdasarkan soal selidik yang dijalankan, mereka ke sekolah dengan berbekalkan hanya RM1 sehari. Bagi mereka, semua itu sudah mencukupi kerana hidup mereka amat bermakna tinggal di rumah anak yatim walaupun hanya berbekalkan RM1 sehari. Bagi menggembirakan mereka, kami menjalankan beberapa aktiviti iaitu sesi tusyen yang bertujuan membimbing mereka dalam pelajaran. Selain itu, kami juga menjalankan aktiviti riadah seperti senaman aerobik dan tarian poco-poco bagi menyihatkan tubuh badan mereka yang tertekan akibat pelajaran. Pada sesi tengah hari pula, kami menjalankan aktiviti sukaneka yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan mereka dan juga kami. Tambahan pula, melalui aktiviti sukaneka ini, mereka dapat merehatkan seketika minda mereka yang berserabut dek pelajaran. Selepas waktu Zohor pula, kami mengadakan sesi cermah dan ada antara kumpulan kami yang membuat persembahan individu iaitu drama monolog. Tujuan drama monolog ini adalah untuk mendedahkan kepada mereka tentang dunia sastera dan lakonan yang serba indah. Setelah waktu menginjak petang, tepat jam 4.30 petang, kami bertolak pulang. Suasana gembira bertukar menjadi sedih dek tangis sendu adik-adik kami yang tidak merelakan kepulangan kami. Tapi, apakan daya, pelajaran yang mengikat dan menuntut kami untuk pulang. Seribu satu kenangan yang tercipta tetap kekal dalam sanubari kami dan akan kami jadikan sebagai satu kenangan yang indah sepanjang kami bergelar mahasiswa.

Thursday, February 28, 2008

Pesta pilihan raya
Oleh Hafizah Iszahanid, Mohd Azis Ngah dan Suhana Roslan-BH online (28/02/08)
SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 Februari lalu, kemeriahan pilihan raya pun bermula. Walaupun kempen rasmi hanya sepatutnya bermula hari ini sebaik penamaan calon selesai namun semua parti sudah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing berbulan-bulan sebelum itu. Bagi petugas, pilihan raya umum adalah waktu yang dinanti-nanti untuk menunjukkan sokongan terhadap parti. Justeru, mereka inilah yang menjadi tulang belakang parti yang membantu memeriahkan kempen pilihan raya. Daripada remaja di bandar hinggalah pakcik tua di kampung, mereka tidak kisah menyumbang kudrat dan keringat tanpa mengira siang atau malam untuk memeriahkan kempen dengan memasang poster dan bendera di segenap ruang yang ada untuk menarik perhatian pemilih.
Malah, ada yang sanggup `berkampung' dan tidur di markas yang dibina di tepi jambatan, demi memastikan bendera parti mereka tidak diusik pihak lawan. Wanita pula tidak mahu ketinggalan sibuk bergotong royong menyiapkan hidangan petugas sebagai sokongan dan meringankan penat lelah mereka selepas bekerja keras memastikan kemenangan parti. Selepas ini kita akan melihat "perang poster" calon yang bertanding untuk rakyat memilih parti dan pemimpin mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pada 8 Mac akan datang.



KOMEN

Demam pilihanraya kian terasa bahangnya. Semakin hari, para calon pilihanraya semakin sibuk berkempen meraih undi. Golongan lelaki sibuk dengan kerja luarnya manakala golongan perempuan pula sibuk membantu suami walaupun sekadar di rumah. Begitu sekali hebatnya bahang yang di rasakan bersempena dengan pilihanraya kali ini. Amat menyeronokkan, kanak-kanak pun sibuk membantu ibu bapa mereka dengan menggantung poster. Tarikh 8 Mac adalah tarikh amat di nantikan oleh para calon pilihanraya.
Mara hantar lebih ramai pelajar ke luar negara
Oleh Rosniza Mohd Taha dan Mohd Amin Jalil-Berita Harian online(28/2/08)
Tawaran terbuka kepada lulusan cemerlang SPM ikuti bidang kritikal JUMLAH pelajar Bumiputera yang akan dihantar mengikuti pengajian dalam bidang kritikal di luar negara menerusi program Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Mara ditingkatkan kepada 1,200 tahun ini berbanding 1,000 orang sebelum ini. Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin, berkata setakat ini 369 pelajar sudah dikenal pasti layak mengikuti skim berkenaan untuk mengikuti jurusan perubatan, bioteknologi, kejuruteraan, teknologi maklumat, sains aktural dan farmasi.
Katanya, pelajar yang berjaya dalam permohonan mereka akan dihantar ke universiti terkemuka luar negara termasuk di Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, India, Jerman dan New Zealand. “Kuota tahun ini meningkat bertepatan usaha Mara bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membantu kerajaan menyediakan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi pada masa depan. “Skim ditawarkan dengan kerjasama JPA ini tidak terhad kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara saja, malah terbuka kepada semua lulusan Sijil Pelajaran Malaysia termasuk dari sekolah berasrama penuh,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Mara Peringkat Zon Selatan di kompleks beli-belah Terminal One, Seremban, baru-baru ini.
Nam berkata, pelajar yang dihantar ke luar negara akan mengikuti program persediaan International Baccalaureate (IB) serta A Level dan mereka mesti mencapai tahap kecemerlangan ditetapkan. “Sepanjang menjalani program ini, prestasi mereka dipantau secara berterusan. Penilaian ini dilaksanakan secara menyeluruh terutama dari segi kecemerlangan akademik, ketrampilan, kesungguhan serta mempunyai disiplin tinggi. “Ia bagi memastikan pelajar terbabit benar-benar layak dan mampu bersaing dengan pelajar antarabangsa kerana sesetengah universiti luar negara turut mengenakan syarat ketat, termasuk melalui proses temu duga,” katanya. Menerusi SPC juga, katanya, Mara akan menghantar 30 pelajar cemerlang mengikuti program ijazah kejuruteraan selama empat tahun di Sepanyol mulai September 2010.
Beliau menjelaskan borang untuk mengikuti program itu sudah diiklankan di akhbar bagi membolehkan pelajar membuat permohonan. Katanya, pelajar terpilih akan ditempatkan di Universiti Politeknik Madrid dan Universiti Politeknik Catalunia, Barcelona. Bagaimanapun, katanya, pelajar terbabit perlu mengikuti program A Level selama dua tahun dalam negara sebelum dihantar ke Sepanyol yang tersenarai sebagai antara negara maju dalam bidang kejuruteraan. “Sebelum ini pelajar tajaan Mara yang melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan dihantar ke Jerman, New Zealand, United Kingdom dan Perancis. “Sepanyol menjadi destinasi pengajian terbaru kerana ia terkenal dengan pembangunan kejuruteraan terkini termasuk aeroangkasa, mekanikal, automotif, elektrik dan elektronik,” katanya. Sementara itu, ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Mara Peringkat Zon Selatan di kompleks beli-belah Terminal One, Seremban, baru-baru ini, Nam berkata, langkah meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang kemahiran teknikal bertujuan melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera. "Ini kerana kemahiran, kepakaran dan pengetahuan menentukan orang Melayu dan Bumiputera mampu terus berdaya saing," katanya. “Mara akan terus berusaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat mengenai pentingnya ilmu dan kemahiran. Karnival ini adalah sebahagian platform kepada mereka, terutama generasi muda meneroka peluang pendidikan, sekali gus membina kerjaya cemerlang pada masa depan,” katanya.
KOMEN
Perancangan yang baik daripada pihak MARA kerana mengambil inisiatif yang terbaik dalam menangani masalah kekurangan pelajar Malaysia di luar negara. Hal ini kerana, apabila perancangan ini terlaksana maka akan lahirlah generasi masa hadsapan yang lebih dinamik selaras dengan kehendak kerajaan dalam melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Walaubagaimanapun, langkah yang strategik amat perlu kerana ini membabitkan kos yang tinggi. Tujuan penghantaran pelajar-pelajar Malaysia ke luar negara adalah untuk membantu Malaysia membangunkan negara kita sendiri iaitu Malaysia.